Tuesday, August 7, 2012

Terima Kasih Tuhan 1


Bebas. Itulah pengertian yang ada dalam hidupku sejak beberapa tahun yang lalu. Tidak mengenal erti halal dan haram. Hidup ini aku corakkan dengan warna keseronokan, hiburan, khayalan dan kebebasan. Dianugerahkan dengan nama Nur Mardihah langsung tidak sama dengan keperibadianku. “Ah.. persetan itu semua, bukan semua yang bertudung itu baik, aku seronok jadi begini.. bebas..” Itulah kata hati yang aku bawa dalam kehidupanku.
Namun, jika diselak helaian naskah purba sejarah hidupku, aku dahulu bukanlah aku yang sekarang. Hidupku dahulu penuh dengan kebahagiaan, kasih sayang keluarga, anak yang taat, pintar dan sopan serta tidak pernah memandang rendah soal agama. Semua itu sama sekali telah aku tinggalkan. Sejak aku kehilangan keluarga tercinta dalam kemalangan yang meragut nyawa bapa, ibu serta abangku, aku memilih jalan hitam ini.

Sejak kehilangan semua insan yang aku sayang dalam hidupku, aku diambil oleh ibu saudaraku, Auntie Maria iaitu adik kepada bapaku. Bukan kerana keikhlasan hati, tetapi kerana tamakkan harta kekayaan yang membawa aku ke dalam keluarga Auntie Maria. Dia hanya kepingin harta arwah ayah. Aku langsung tidak dilayan seperti darah dagingnya. Aku memberontak. Gara-gara tidak sehaluan lagi, aku dihalau dari rumah agam tempat aku dibesarkan selama 20 tahun itu. “Berambus kau dari sini.. dah la anak yatim, menyusahkan aku.. laki aku kau nak kebas juga?!!” tengking Auntie Maria. Uncle Badrul yang berdiri di sebelah hanya tersenyum sinis. Setan kau. Bentak hatiku. Kerana sifat kebinatangan dan nafsu buas kau aku dipersalahkan.
Tak guna aku membela diri. Bukannya mendatangkan faedah. “Hey, kau ingat aku teringin sangat laki kau yang gemuk ni..??!!” Soalku kembali. Auntie Maria terkejut dengan kebiadapanku. Ah.. lantak. “Kurang ajar… Berambus kau.. jangan tunjuk muka kau lagi!!!” Jerit Wanita itu. Aku akur. Aku kemas semua pakaian dan keluar dari rumah tersebut tanpa sepatah kata. Dunia di luar menantiku. Sayang. Memang sayang aku hendak meninggalkan rumah tempat aku sekeluarga berkasih sayang. Namun, keadaan memaksa.
 Dunia baruku bermula. Kuala Lumpur begitu asing bagiku. “Mana aku nak pergi ni..” Desis hati kecilku sambil mundar mandir di sekitar Hentian Puduraya. Suzie, nama itu terpacul keluar dari mulutku. Teman karibku sewaktu di sekolah. Dia tinggal di sini dan bekerja di sini. Tanpa membuang masa aku menyelongkar senarai nombor di telefon bimbitku.
“Suzie…” Aku memulakan bicara sebaik panggilanku disambut
“Ya.. siapa ni…? “ Soalnya
“Mar… Mardihah.. aku baru sampai Kl.. aku perlukan pertolongan kau ni..” Ujarku.
“Mar? La… kau ke.. kau kat mana? Aku datang ambil..” Suzie membalas
“Puduraya..” Kataku dan mematikan talian itu.
Sepuluh minit aku menanti. Pelbagai ragam warga kota aku perhatikan. Gelagat warga asing tidak terkecuali dari pemerhatianku. “Adik nak ke mana? Teksi?” Soal seorang lelaki separuh abad. “Tak.. saya tunggu kawan” Jawabku ringkas. Dia akur lalu bertanya kearah orang lain pula. Hidup di kota sebigini pasti memerlukan banyak belanja. Dari segi perwatakan dapat aku agak lelaki tersebut pasti bapa kepada beberapa orang anak yang memerlukan wang secukupnya bagi menjalani kehidupan. Kasihan. Namun memang itu tanggungjawab bapa sebagai ketua keluarga.
Aku ingat kata Arwah ayah “Mardihah.. Rezeki bukannya dating tiba-tiba, kita perlu berusaha. Dan.. ingat, rezeki itu mestilah halal. Baru hidup sekeluarga berkat.” Hmm.. tapi sekarang aku telah kehilangannya. Dia sudah tiada untuk member madah nasihat yang boleh aku jadikan panduan hidup. “Ayah, Mama, abang… Mar rindu semua..” Bisik hati kecilku sayu. Tanpa disedari air mata menitis. Aku seka air mata itu dari menyembah bumi.
“Mar…” Tegur seseorang. “Suzie!!” Separuh menjerit aku apabila melihatnya. Kami berpelukan. Hampir tiga tahun tidak berjumpa. Suzie banyak berubah. Pakaiannya sudah bertukar. Maklumlah menjadi warga Kuala Lumpur. Kami berjalan seiringan menuju ke keretanya. “Wah… kau pakai Myvi.. banyak duit kau..” Soalku sebaik melabuhkan punggung di dalam kereta Perodua Myvi itu. “Kerja la beb..” Jawab Suzie.
“Macam mana kau boleh rasa nak dating kl ni?” Soal Suzie. Aku menceritakan segalanya pada Suzie. “Kesiannya kau… Kau duduk rumah aku dulu ye.. aku pun duduk sorang..” kata Suzie. “Thanx.. kalau takde kau aku tak tahu lah macam mana aku..” Ujarku. “Ala… kita kan kawan.” Balas Suzie.
Setelah hampir setengah jam berada di jalanraya, kami tiba. Aku terpegun melihat rumah Suzie. Apartment mewah yang dimilikinya membuatkan aku tertanya-tanya. “Hebat kau, boleh hidup mewah macam ni. Kau kerja apa?” Soalku. “Ala.. kerja biasa je.. kau duduk dulu, rehat-rehat.. malam besok aku bawa kau tengok tempat kerja aku.” Kata Suzie sambil menunjukkan bilikku. Kagum benar aku dengannya. Apa kerja Suzie? Kenapa malam?...
***********************************************

No comments:

Post a Comment