Thursday, August 9, 2012

Sangkar Kasih 23


“Jangan nakal-nakal pergi sana nanti. Kirim salam pada papa tau..” Najma pesan sebelum Najwa naiki bas. Aidil menemani Najma menghantar Najwa. Aidil diberitahu tentang rancangan mereka itu.

“Kak.. jangan lupa kalau mama tanya, cakap adik pergi camping tau..” Balas Najwa. Najma angguk. Bas ke Kangar mula bergerak. Mengikut perancangan, Najwa akan naik bas hingga Stesen Bas Kangar dan setelah itu, dia akan naik teksi pulang kerumah bapanya di Arau. Mahu beri kejutan. Najma lambai adiknya itu. Aidil juga melambai. Najwa balas lambaian kakaknya dan Aidil.

“Jom..” Kata Aidil. Najma angguk. Mereka menuju ke tempat letak kereta.

“Macam-macam kerenah wawa ni… tapi dia happening kan..” Aidil bersuara lagi.

“Itulah kelebihan dia, sentiasa buat orang tertawa.. Harap dia happy jumpa papa..” Najma balas. Aidil buka pintu kereta untuk Najma.

“Thanks…” Kata Najma dan melangkah masuk ke dalam kereta Aidil. Aidil masuk dan hidupkan enjin. Aidil memandu keluar dari tempat letak kereta itu.

“Lunch dulu?” Soal Aidil.

“Yup…..” Jawab Najma ringkas. Aidil pandu ke kedai makan berhampiran. Mereka makan tengah hari terlebih dahulu sebelum pulang ke pejabat. Aidil dan Najma duduk di suatu sudut tempat makan tersebut. Setelah makanan tiba, Mereka nikmati juadah itu. Sepanjang makan, mereka hanya diam. Najma cuba cari peluang untuk beritahu Aidil keputusannya. Dia sesekali tunduk apabila Aidil renung wajahnya. Aidil dengan penuh harapan mengharap jawapan dari Najma.

“Aidil…” Panggil Najma sesudah selesai makan. Aidil yang sedang menghirup minumannya pandang wajah Najma.

“Saya dah fikir…” Sambung Najma.

“So?” Aidil tidak sabar tunggu jawapan najma.

“Thanks coz love me.. and, I love you too.. Janji dengan saya kita capai impian sama-sama dulu..” Najma bersuara. Aidil raup muka tanda syukur. Hanya tuhan yang tahu betapa gembiranya hati lelakinya itu apabila cintanya di terima sang gadis pujaannya.

“Najma.. saya janji” Aidil genggam tangan Najma. Najma biarkan lelaki itu. Hangat tangan Aidil dirasakan.

“But, bukan dalam masa terdekat ni kita kahwin kan.. Bagi peluang untuk kita kenali hati budi masing-masing dahulu..” Najma balas.

“Ya.. tak perlu tergesa-gesa..” Sambut Aidil. Najma senyum pandang wajah Aidil. Aidil balas senyuman Najma. Najma tunduk. Malu pula rasanya. Dia belum pernah rasa getaran seperti itu. Aidil nyata lelaki pertama yang curi hatinya. Najma harap hubungan itu kekal.

Najma dan Aidil jalan beriringan pulang ke pejabat. Ada sinar ceria dan bahagia pada wajah keduanya. Aidil senyum. Najma juga begitu. Masing-masing bersemangat melakukan tugas. Najma hubungi adiknya untuk beritahu perkara itu.

“Dah kat mana tu?” Najma mulakan bicara.

“Highway.. tapi tak tahulah kat mana.. kenapa?” Balas Najwa.

“Adik.. akak dah bagitahu abang Aidil..” Suara najma girang.

“Wah… baguslah.. Adik doakan akak bahagia dengan dia.. Dia macam mana? Lompat tak?” Najwa berkata.

“hish… tapi dia nampak happy..” Balas Najma.

“Akak happy tak? Adik Nampak tu akak tengah blushing-blushing..” Najwa menyoal.

“Happy dik.. rasa macam.. entahla.. maknanya selama ni akak memang sayang dia, Cuma akak tak perasan..” Balas Najma lagi.

“Cewah…. Akak memang sayang dia pun.. Saja buat tak perasan.. Akak.. adik nervous la nak jumpa papa..” Najwa pula luahkan gusarnya.

“La… Adik kan rock.. rileks la.. Buat macm biasa. Ingat, sopan santun..” Kata Najma lagi.

“Rock memang rock, 13 tahun tak jumpa.. miss him so much… Akak doakan adik ye..” Najwa bersuara manja.

“Mestilah akak doakan.. okay lah, akak sambung kerja dulu.. hati-hati, dah sampai bagi tahu..” Pesan najma.

“Ok kak.. Kimsalam mama.. Assalammualaikum..” Najwa matikan talian. Najma sambut salam adiknya. Dia kembali menyelesaikan tugasnya.

Najwa khusyuk dengan lagu yang didengarnya dari MP3. Dia goyangkan kepala ikut rentak lagu. Walaupun memakai sepasang baju kurung, Najwa bersila di atas kerusi bas. Dia selesa di situ. Bunyi dengkuran orang sebelahnya menganggu Najwa.

“Hish… tidur berdengkur.. Muka je handsome..” Najwa bebel dalam hati. Dengkuran semakin kuat, Najwa bertambah geram apabila kepala orang disebelahnya terkulai atas bahunya.

“Agak-agak la mamat ni.. Ingat bahu aku bantal ke..” Najwa tumpil kasar kepala lelaki itu. Lelaki itu terkejut. Najwa gamam.

“Ceh… aku ingat dah nak bangun…” Ngomel Najwa apabila lelaki itu kembali tidur. Najwa ketawa sendirian. Kebanyakan orang dalam bas itu tidur. Hanya Najwa tak dapat lelapkan mata kerana berdebar mahu berjumpa bapanya.

“Uwek!!..” Suara orang depan Najwa muntah. Bau muntah kurang menyenangkan. Najwa berdiri untuk melihat. Dia loya. Rasa bagai isi perutnya pula mahu terkeluar.

“Mabuk ke kak?” Soal Najwa dari belakang. Wanita hadapannya mengangguk. Dari amatannya, wanita itu dalam lingkungan 30-an. Suami wanita itu ada disebelah.

“Maaf dik, isteri abang ni tak biasa naik bas.. Ada minyak angin tak?” Soal suami wanita yang muntah itu. Sempat pula lelaki itu kenyitkan mata pada Najwa.

“Cis… isteri sebelah pun ada hati nak ngorat orang..” Najwa kutuk dalam hatinya.

“Tak ada. Minyak masak ada… nak?” Najwa jengilkan mata. Lelaki itu terkedu. Dia kembali ketempat duduknya. Najwa mengeluh kecil. Isteri disebelah, masih nak jual minyak. Geram benar Najwa. Kalau dia jadi wanita yang muntah tu, dia muntah saja atas suaminya. Baru padan muka. Menggatal sangat. Najwa toleh kanan. Lelaki disebelahnya masih lena dibuai mimipi. Bunyi dengkuran mula perlahan. Najwa bersyukur. Sekurangnya dia tak terganggu lagi. Harap perjalanan seterusnya tenang. Najwa lihat jam tangannya, lagi setengah jam pukul 6 petang.

“Berhenti!!!” Jerit seorang dari belakang. Bas break mengejut. Najwa hampir tersungkur.

“Sat.. ni dah sampai Jejawi kan.. Turunkan saya.. maaf En drebar..” Seorang Mak Cik berkata. Orang ramai mengeluh. Pemandu bas itu buka pintu bas. Wanita tua itu melangkah turun.

“Adess…. Dah nak sampai pun nak turun..” Najwa berkata sendirian. Nak tersedak dia rasa apabila bas berhenti mengejut. Bas teruskan perjalanan. Kiri kanan sawah padi. Tenang Najwa memandang. Perlis bukanlah negeri yang besar, suasananya pula tak semaju Kuala Lumpur. Tapi Najwa tenang melihat kawasan itu. Bas mula masuk ke Pekan Kangar. Bandarnya kecil. Akhirnya bas berhenti di hentiannya. Najwa bersiap sedia untuk keluar.

“Bang.. boleh cepat sikit tak?” Najwa soal lelaki sebelahnya yang masih terkial-kial untuk bangun. Lelaki itu halang laluannya.

“Sat….” Jawab lelaki itu.

“Sat.. sat.. siku kang.. Cepatlah woi..” Najwa geram. Dia tak peduli lagi, dirempuhnya saja barang-barang yang ada di hadapan lelaki itu.

“Woi.. hang ni, orang lain pun nak turun. Sabaq boleh tak?” Lelaki itu marah.

“Sabaq kepala hotaq hang.. Sengal!” Balas Najwa. Dia terus berlalu turun membiarkan lelaki itu. Akhirnya, Najwa Berjaya turun dengan selamat. Sebaik turun, beberapa pemandu teksi menerpa.

“Nak pi mana dik?” Seorang lelaki tua menyoal.

“Arau..” kata Najwa. Dia tunjukkan sekeping kertas pada lelaki itu. Pemandu teksi itu angguk. Najwa masuk dalam teksi.

“Pak cik tahu tak alamat tu?” Soal Najwa inginkan kepastian.

“Kalau tak tau, tak dak la Pak Cik jadi drebar teksi dik oii..” Balas lelaki tua itu. Najwa sengih sumbing.

“Ye la.. mesti Pak Cik jadi driver lori kan..” Najwa menambah. Perjalanan ke Arau tak ambil masa yang lama. Najwa berdebar menanti untuk bertemu ayahnya.

“Dah sampai nak… sini rumahnya..” Kata Pemandu Teksi itu. Dia berhenti di luar pagar. Najwa bayar tambang teksi dan turun. Barangnya diambil. Najwa berdiri luar pagar. Banglo yang tersergam indah itu ditatapnya. Najwa tekan loceng yang berada di luar beberapa kali. Seorang lelaki buka pintu pagar.

“Cik Najma dah balik….” Kata lelaki itu.

“Ya Wak koncoro.. Papa ada?” Najwa berlagak mengenali tukang kebu Syed Hazim itu. Kakaknya telah ceritakan segalanya dan tunjuk gambar orang-orang yang perlu dia tahu agar rancangan Najwa Berjaya.

“Ada.. kat dalam..” Kata Wak Koncoro. Dia angkat beg Najwa yang disangka Najma itu. Najwa langkah masuk. Hatinya berdebar.

“Cik Najma dah balik!!!” Wak Koncoro membuat pengumuman. Syed Hazim yang mendengarnya bingkas bangun dan menyambut di muka pintu. Sebaik melihat susuk tubuh bapanya di hadapannya. Najwa kaku. Air matanya menitis. 13 tahun dia tak jumpa bapanya itu. Tempoh itu bukanlah satu tempoh yang singkat. Najwa pandang bapanya itu. Pada pandangannya, Syed Hazim masih sama seperti seorang ayah yang dia tinggalkan 13 tahun lalu. Masih seorang ayah yag penuh dengan kasih sayang pada wajahnya.

“Anak papa dah balik…” Syed Hazim berkata. Najwa pantas salam, cium tangan bapanya. Sejurus itu dia peluk bapanya. Najwa titiskan air mata.

“Pa.. ni wawa..” Ingin sahaja dia ungkapkan kata-kata itu. Tapi dia diamkan dulu. Mungkin masa untuk luahkan itu akan tiba nanti. Najwa peluk bapanya selama mungkin. Air matanya laju menitis.

“Awat lagu ni? Rindu papa sangat ke ni..” Syed Hazim lepaskan pelukan bapanya yang disangka Najma itu. Najwa renung wajah bapanya.

“Rindu pa…” Suara Najwa.

“Papa pun rindu Naja.. mari lah masuk dulu..” Syed Hazim pelawa. Najwa angguk.

“Wah.. wah.. Tuan puteri ni dah balik.. awat lekas sangat mai sini.. pasai pa tak duk lama-lama kat sana..” Laila muncul dari pintu biliknya.

“Ceh.. ni lah ayam serama tu..” Desis hati kecil Najwa. Dia senyum sinis.

“Naja rindu ngan Mummy..” Balas Najwa. Dia peluk ibu tirinya itu. Syed Hazim hairan. Laila terkedu dipeluk anak tirinya itu. Selepas itu Najwa terus ke kamarnya.

“Gila ka budak ni..” Laila bersuara hairan. Najwa tertawa kecil.

“Naja rehat dulu.. Sat lagi kita makan malam sama-sama…” Kata Syed Hazim.

“Pa….. wawa sayang papa..” Najwa berkata.

“Wawa?” Syed Hazim kerutkan keningnya. Najwa terkedu.

“Alamak. Silap pula..” Najwa berkata dalam hati. Dia hampiri bapanya itu.

“Maksud Naja, adik.. dia pesan dia sayang papa..” Najwa betulkan.

“Ooo..Papa pun sayang adik Naja.. Papa sentiasa doa agar papa dapat peluang jumpa
and dapat peluk anak papa tu.. I miss her..” Balas Syed Hazim. Najwa peluk bapanya.

“Pa dah dapat peluang tu..” Desis hati kecil Najwa.

“Pi lah mandi dulu.. Papa tunggu kat luar.. Sat gi makan sama-sama..” Syed Hazim menambah. Najwa angguk. Syed Hazim melangkah keluar dari kamar anaknya.
Selesai mandi dan kemas barang miliknya, Najwa sarungkan sepasang baju tidur milik kakanya. Hati kecilnya mengutuk.

“Adoi… Baju dahla calour pink, siap ada hello kitty lagi…” Rungutnya. Kalau di rumah, dia lebih selesa mengenakan Kemeja T dan seluar pendek paras lutus. Ringkas dan sesuai dengan jiwanya. Namun, bagi menjayakan apa yang dirancang, Najwa terpaksa harungi semua itu. Dari berbaju kurung hingga terpaksa berjalan menggunakan kasut tumit tinggi, semua itu telah dia cuba. Pernah kakinya terseliuh kerana terjatuh ketika belajar berjalan dengan kasut milik kakaknya.

“Redha je.. Ni Najwa..” Najwa dabik dada. Selesai segalanya, dia keluar dari kamar untuk nikmati makan malam bersama bapanya. Setiba di ruang makan, Najwa sengaja ambil tempat di sebelah bapanya. Sepatutnya tempat itu milik Laila. Najwa senyum sebaik Laila sampai.

“Hoi.. sejak bila hang pandai ambik tempat aku ni?” Bebel laila. Syed Hazim hanya memandang.

“Tak dak tulis nama mummy pun kat sini..” Najwa balas selamba.

“Memangla.. Hang ni tuli ka buat-buat tuli.. Bangkit lekas..” Laila semakin geram. Najwa pura-pura tak mengerti. Dia duduk dengan selamba.

“Dah la.. dia baru balik.. Biaq pi la.. Kan banyak lagi kerusi..” Syed Hazim bersuara. Laila cemik muka. Najwa hanya senyum mengejek.

“Tak mau makan lah..” Laila merajuk.

“ Tak mau sudah.. papa, jom kita makan, Sedap sambal ketam ni..” Kata Najwa. Syed Hazim angguk. Mereka menjamu selera. Najwa sengaja makan dengan penuh selera. Laila yang berdiri hanya menelan air liur melihat dua beranak itu makan.

“Bang.. tinggai sekoq ketam tu..” laila bersuara. Najwa dengan pantas ambil dan makan ketam yang tinggal lagi seekor itu.

“Kuang ajaq hang…!!” Laila jerit. Najwa ketawa. Laila terus keluar dari ruang makan dan menuju ke biliknya.

“Padan muka..” Najwa berkata. Syed Hazim hanya memandang hairan puterinya. Pertama kali dia lihat Najma berani mengenakan ibu tirinya. Syed Hazim hanya senyum. Dia biarkan isterinya itu.

1 comment:

  1. Casino Review | Jammy Mobile, Android, iPhone | Jtm Hub
    Jammy 용인 출장안마 offers its players a range of casino games for 세종특별자치 출장샵 entertainment, slots and 경상남도 출장안마 poker games. Players can 수원 출장안마 enjoy various promotions and 사천 출장안마 casino games while

    ReplyDelete